Tiba-tiba aku dikejut,
Disepertiga yang hening dan dingin,
Kerana kekasihku merindui,
Aku berada disamping,
Buat mengadu hakikat diri yang letih,
Dengan kepalsuan hidup yang pedih.
Tiba-Tiba aku terkedu,
Di saat merintih tentang diri yang dhaif,
Kerana ku tahu Tuhanku tidak menyisihkan kekasih,
Yang bertamu bagi mencari kasih,
Sedangkan diri masih alpa dengan dunia dhaif,
Aku bersimpuh bagi mencari redha Sang Pengasih.
Tiba-tiba aku menangis,
Di ketika tirai-tirai dosa menyapa,
Mataku mengesat linangan air yang menerpa,
Kerana ku tahu Tuhanku berjanji,
Menyimbah api yang menyala,
Walau air mata yang jatuh itu hanya dipaksa,
Syurga disedia dengan kebun-kebun yang indah,
Buat diri yang taubat dan istighfar.
Tiba-tiba aku berkata,
Di masa mata lain sedang leka,
Asyik dengan lesu tubuh yang nyenyak,
Lambungku tersentak buat berdoa disaat insan lain sedang
terlelap,
Diulit mimpi panjang yang penuh kisah,
Sedangkan aku tersedar bagi memohon segala hajat yang indah,
Kerana Tuhanku berjanji berada dekat disisi,
Disaat lidah menyebut Ya Rabbi,
Pastinya Dia sedia memberi,
Dengan Rahmat dan kasihNYA ,
Yang tiada bertepi.
Terima kasih wahai Rabbi,
Dengan keampunan yang tiada terperi,
Kerana RahmatMU mendahului murkaMu,
Moga munajat dan sendu ku ini,
Bagai debu menghapus dosa menggunung tinggi.
Al-fakir hu illa wallah,
Aslym Faiz
Selasa (20140506) 7.20 am

No comments:
Post a Comment