Powered By Blogger

Monday, January 5, 2015

Ku MerinduiMu Rasulullah SAW

Ku baca kitab syamailMu,
Ku lihat betapa mulianya keperibadianMu,
Ku renung sang purnama di langit biru,
Ku terkenang sabda sahabatMu,
Betapa diriMu itu ternyata lebih indah dari sang purnama yang bersinar di malam yang syahdu.

Ku baca kitab sirahMu,
Ku tersentuh mengenang jerih perit perjuanganMu,
KAU terluka demi umatMu.
KAU dicaci kerana dakwahMu,
KAU dilontar dengan batu tetapi masih KAU mampu mendoakan hidayah untuk umatMu.

Ku cemburu dengan sahabatMu,
Kerana mereka dapat hidup dan berjuang bersama-samaMu,
Sedangkan Aku hanya dapat membaca melalui Quran dan hadis-hadisMu,
Tetapi tidak aku merasa tersisih kerana sabdaMu bahawa KAU merindui Ikhwan-ikhwanMu,
Yang mana mereka tidak pernah bertemu denganMu tetapi Mereka beriman dan merinduiMu.

Ku teringat bicara palsuku,
Bahawa aku mencintai dan merinduiMu sedangkan itu hanya tutur bicara manis lidahku padahal ianya tidak meresap ke dalam hati dan cara hidupku,
Ku nyatakan ku cinta padaMu hakikatnya jauh sekali aku daripada sunnah-sunnahMu,
Adakalanya ku ikut sunnah-sunnahMu dalam keadaan hati ini merasa hambar dalam mencintaiMu,
Mungkin kerana aku masih belum mengenali sepenuhnya diriMu,
Ataupun mungkin kerana cintakan dunia membuatkan aku jadi sebegitu,
Walaupun ku sedar akan keadaan itu tetapi ku rasa seolah-olah menunggu masa akan masuk ke dalam syurga tidak beberapa waktu.

Maafkanlah aku wahai Rasullullah Ku kerana aku sering melupakanMu,
Sedikit sangat aku berselawat kepadaMu kerana terlalu banyak menyanyikan lagu-lagu yang tidak bermanfaat buatKu,
Tidak istiqamah dalam mengamalkan sunah-sunnahMu,
Dan jarang sekali aku menangis kerana merindukanMu,
Sedangkan banyak sekali Kau menangis kerana merisaukan dan merindukanKu.

Al-Faqir Hu Illa Wallah,

Aslym Faiz

Selasa (20150106) 12:45 AM

Tuesday, August 12, 2014

Disebalik Renungan Mata Gaza


Disebalik renungan matamu Gaza,
Tersimpannya seribu cerita, 
Jutaan derita dan linangan air mata sengsara, 
Namun jangan dikau pernah kecewa,
Allah sentiasa bersamamu wahai wajah suci yang tidak berdosa, 
Allah pasti akan membalas segala kekejamanmu wahai anjing Zionis yang celaka,
Bersabarlah wahai anak kecil untuk seketika,
Mungkin engkau kehilangan insan-insan yang engkau cinta,
Sungguh berat derita yang engkau rasa,
Yakinlah engkau kan bertemu dengan ayah dan ibumu semula di syurga.

Maafkanlah aku kerana hanya mampu melihat kau diperlakukan begitu rupa tanpa mampu berbuat apa-apa,
Kerana aku bukanlah Umar Al-Khattab yang gagah perkasa,
Mengambil Al-Aqsa dengan penuh bijaksana,
Tanpa ada rasa gentar di dalam hati walaupun sekelumit cuma,
Menentang segala kezaliman walaupun Dia hanya memakai pakaian yang sederhana,
Tidak ada kenderaan yang mewah seperti para pemimpin dunia,
Tiada singgahsana dalam mentadbir ummahnya,
Hanya satu yang ada padanya iaitu mulianya Dia kerana Islam yang dicinta, 
Semoga Tuhan akan membangkitkan semula pemimpin sepertinya,
Bagi membela ummah yang sekian lama dihina dan dicerca.

Wahai Tuhan bantulah hamba-hambaMU yang ditindas disana, 
Jangan biarkan mereka terus berduka,
Berilah sinar dan harapan baru untuk mereka,
Hanya PadaMU kami serahkan segala urusan untuk membela mereka,
Tolonglah mereka wahai Tuhan yang Maha Perkasa.

Al-Fakir Hu Illa Wallah, 

Aslym Faiz

Selasa ( 20140812) 6.28 PM

Tuesday, July 1, 2014

Bertamu Lagi (Ramadhan)

Oh Ramadhan KAU bertamu lagi,
Setelah setahun kita tidak bersua,
Alangkah cepatnya putaran waktu,
Ku rasakan bagai semalam aku menjadi tetamuMU,
Hari ni kau bertamu lagi,
Bagi membawa Rahmat dan Maghfirah TuhanMU,
Untuk membebaskan ku dari neraka TuhanMU dan Tuhanku jua.

Oh Ramadhan aku merindui kehadiranMU,
Setiap detik kau berlalu ku berdoa moga dapat ku bertamu lagi,
Pada hari esok juga pada Ramadhan yang mendatang,
Kerana di dalamMU tidak terhitung banyaknya ganjaran yang telah disediakan buatku,
Syurga dibuka seluasnya dan neraka ditutup serapatnya,
Pengampunan yang tiada bertepi dan Rahmat yang tiada berpenghujung,
Juga Lailatul Qadar yang nilaiannya lebih baik dari seribu bulan.

Oh Ramadhan harapanku cuma satu,
Andai ini kali terakhir aku menjadi tetamuMU,
Semoga aku mendapat apa yang dijanjikan TuhanMU untukku,
Semoga ianya menjadi yang terbaik dan sempurna buatku.

Ya Allah berkatilah hari-hari ku di dalam Ramadhan ini,
Terimalah segala amalku yang serba dhaif ini,
Semoga Ramadhan ini menjadi menjadi jalan untuk aku ke syurgaMU nanti,
Harapanku agar dipanjangkan usia dan dapat menjadi tetamu Ramadhan lagi,
Beberapa tahun mendatang lagi sebelum aku kembali bertemuMU Ya Rabbi.

Al-Fakir hu Illa Wallah,

Aslym Faiz

Rabu(20140702) 7.00 AM

Tuesday, June 17, 2014

Disebalik Senyuman Para Pendakwah dan Pejuang

Disebalik senyum dan tawamu terselindungnya duka,
Yang beraneka warna,ribuan rasa,jutaan derita dan cerita,
Bagai pepasir yang dicampakkan ke muka,
Seperti batuan yang dilontarkan diatas kepala,
Lalu darah itu terus mengalir bercucuran bercampur airmata sengsara,
Betapa berat bebanan risalah yang harus dibawa,
Dan terus diperjuangkan oleh setiap yang bernama pejuang agama.

Pada setiap petah perbicaraanmu harus bersedia ditohmah dicemuh,
Pada setiap fatwamu harus bersiap dicaci dimaki,
Pada setiap patah penulisanmu harus bersiaga dibakar kitab dan bukumu,
Namun hakikatnya kau masih mampu mengukir senyum syukur diwajahmu,
Kerana kau yakin dengan setiap keringat yang jatuh disebabkan dakwahmu,
Pasti dibalas dengan kebaikan oleh Tuhanmu.

Tanpa gentar kau terus menggempur setiap jiwa dengan dakwahmu,
Walaupun ditentang oleh musuh dan seterumu,
Pantang berundur kerana syurga di dalam dadamu,
Yakin Engkau dengan janji syurga Tuhanmu,
Kata para pejuang agamaku mati syahid atau hidup mulia,
Dakwah tidak semestinya untuk beroleh kemenangan,
Yang pentingnya sampaikanlah segala seruan Allah dan Rasulmu,
Mungkin kemenangan bersamamu disaat kau telah pergi menemui Penciptamu,
Barulah mereka akan mula berfikir akan kebenaran yang diucapkan olehmu,
Teruskanlah perjuangan wahai para pejuang agamaku,
Kerana kalianlah murabbi dan inspirasiku.

Al Fakir Hu Illa Wallah,

Aslym Faiz

Ahad (20140615) 5:59 PM

Monday, June 9, 2014

Dekatnya Tuhan

Kalau bukan kerana Tuhan,
Pasti insan kan rasa sendirian,
Dalam mengharungi garam kehidupan,
Yang penuh duri menikam badan,
Lukanya kan sembuh saat roh bercerai dari badan.

Hanya dengan firman Tuhan,
Insan mengetahui hakikat yang telah dijanjikan Tuhan,
Dekatnya Tuhan melebihi dekatnya urat di tenggorokan,
Kerana sabda yang dijanji Utusan Tuhan,
Hilanglah duka tika bersujud dihadapan Tuhan.

Hidup ini insan tidak pernah sendirian,
Jika insan yakin dengan hakikat kewujudan Tuhan,
Pastinya insan merasa sentiasa berteman,
Berteman disetiap saat dan juga zaman,
Sehingga insan pulang ke Taman indah yang dijanjikan Tuhan,
Kerana tegarnya mengharungi segala ruang dan jalan kehidupan,
Semoga kitakan pulang dengan tenang dipangkuan Tuhan.

Al Fakir hu Illa wallah,

Aslym Faiz

Ahad (20140608) 12:32 AM

Wednesday, June 4, 2014

SKSN 98-03

Sahabat,
Tahun 1998 menjadi saksi,
Detik keramat pertemuan kita,
Disebuah institusi yang memberi makna,
Menjadi medan perjuangan kita,
Bagi mengejar sebuah cita-cita.

Sahabat,
Setelah enam tahun kita bersama,
Berjuang demi mencapai cita,
Meraih kecemerlangan dalam ujian yang bermakna,
UPSR detik pemisah kita.

Sahabat,
Setelah memperoleh keputusan ujian,
Ada cemerlang dan ada kecundang,
Itulah sunatullah yang dicipta Tuhan,
Bagi membuktikan siapa yang terbaik dikalangan kita.

Sahabat,
Langkah kaki kita terus bergerak,
Melangkah peringkat sekolah menengah,
Bagi meneruskan cita-cita,
Ada yang berada di sekolah cemerlang dan ada yang hanya di sekolah biasa.

Sahabat,
Satu dekad perpisahan kita,
Ada yang telah berubah wajah dan juga rupa,
Ada cemerlang dan ada kecundang bagi mencapai cita-cita,
Namun jangan pernah kecewa untuk meneruskan perjuangan yang ada.

Sahabat,
Sepuluh tahun masa yang panjang,
Terasa bagai semalam kita bersua,
Namun ada dikalangan kita yang sudah pulang menemui pencipta,
Mudah-mudahan tenang dialam sana.

Sahabat,
Andai ada ruang dan masa,
Mudah-mudahan kita dapat bersua,
Bagi terus menjalinkan ukhuwah,
Agar ikatan terus subur sentiasa.

Sahabat,
Andai tiada ruang dan masa,
Mati menjadi pemisah kita,
Mudah-mudahan bersua dialam sana,
Di syurga Firdaus destinasi kita,
Berbahagialah kita diakhirat sana.

Al-Fakir Hu Illa Wallah ,

Aslym Faiz


Khamis (20140417) 12.00 AM

Wednesday, May 28, 2014

TahajjudKu

Tiba-tiba aku dikejut,
Disepertiga yang hening dan dingin,
Kerana kekasihku merindui,
Aku berada disamping,
Buat mengadu hakikat diri yang letih,
Dengan kepalsuan hidup yang pedih.

Tiba-Tiba aku terkedu,
Di saat merintih tentang diri yang dhaif,
Kerana ku tahu Tuhanku tidak menyisihkan kekasih,
Yang bertamu bagi mencari kasih,
Sedangkan diri masih alpa dengan dunia dhaif,
Aku bersimpuh bagi mencari redha Sang Pengasih.

Tiba-tiba aku menangis,
Di ketika tirai-tirai dosa menyapa,
Mataku mengesat linangan air yang menerpa,
Kerana ku tahu Tuhanku berjanji,
Menyimbah api yang menyala,
Walau air mata yang jatuh itu hanya dipaksa,
Syurga disedia dengan kebun-kebun yang indah,
Buat diri yang taubat dan istighfar.

Tiba-tiba aku berkata,
Di masa mata lain sedang leka,
Asyik dengan lesu tubuh yang nyenyak,
Lambungku tersentak buat berdoa disaat insan lain sedang terlelap,
Diulit mimpi panjang yang penuh kisah,
Sedangkan aku tersedar bagi memohon segala hajat yang indah,
Kerana Tuhanku berjanji berada dekat disisi,
Disaat lidah menyebut Ya Rabbi,
Pastinya Dia sedia memberi,
Dengan Rahmat dan kasihNYA ,
Yang tiada bertepi.

Terima kasih wahai Rabbi,
Dengan keampunan yang tiada terperi,
Kerana RahmatMU mendahului murkaMu,
Moga munajat dan sendu ku ini,
Bagai debu menghapus dosa menggunung tinggi.

Al-fakir hu illa wallah,

Aslym Faiz


Selasa (20140506) 7.20 am